PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar menegur segelintir mahasiswa yang didakwa menyebar maklumat tidak tepat kononnya berlaku kenaikan kadar elektrik akibat pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Perdana Menteri berkata, beliau tidak menolak sebarang kritikan, namun meminta semua pihak terutama anak muda supaya menyuarakan pendapat dengan berasaskan kebenaran.
“Katanya kadar elektrik naik. Saya tak faham. Betul ke dia (mahasiswa) terkesan (sedangkan) universiti awam dikecualikan.
“Kalau benar universiti kenakan caj elektrik kepada mahasiswa, kita kena betulkan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga JPM di sini hari ini
Anwar yang juga bekas pemimpin pelajar turut mengingatkan golongan muda agar tidak sewenang-wenangnya menjadikan kebebasan bersuara sebagai medan menyebar fitnah atau maki hamun.
“Kalau kita kata kita ini pejuang mahasiswa dan ‘conscience of the majority’, maka suara kita mestilah mewakili nurani rakyat.
“Tetapi kadar elektrik hanya naik bagi kelompok pengguna teratas iaitu 10 hingga 15 peratus tertinggi. Adakah mahasiswa benar-benar terkesan?” soal beliau.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan SST turut disasarkan secara berhemah dan progresif, antaranya dengan memperkenalkan cukai terhadap buah-buahan import tertentu sahaja.
“Ya, memang ada SST pada buah import seperti epal, limau dan kurma. Tapi bila ada bantahan, saya minta semak semula. Kalau ada jenis limau yang lebih murah, kita boleh kecualikan.
“Saya sendiri arahkan Kementerian Kewangan semak dan buat penyesuaian segera. Jarang perkara ini berlaku, tetapi kita terbuka mendengar,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan juga bersikap responsif terhadap rungutan golongan peniaga kecil termasuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dulu mereka minta had ambang SST dinaikkan kerana RM500,000 terlalu rendah. Mereka cadang naik ke RM1.5 juta. Kita timbang dan naikkan kepada RM1 juta, seperti yang telah diumumkan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar meminta semua pihak agar menyampaikan teguran dengan adil dan berdasarkan fakta, bukannya menyerang secara sembrono sehingga menjejaskan usaha kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat.
“Bayangkan negara tanpa cukai langsung, tak ada sekolah, tak ada gaji penjawat awam, tak ada pembangunan. Kita tak tolak kritikan, tapi biarlah berasaskan fakta dan bukan persepsi yang dimanipulasi pihak tertentu,” tegas beliau. – UTUSAN