Anwar mulakan lawatan tiga negara Itali, Perancis, hadiri sidang kemuncak BRICS di Brazil

Anwar mulakan lawatan tiga negara Itali, Perancis, hadiri sidang kemuncak BRICS di Brazil

TUNKU Nashrul Abaidah ketika sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke tiga pusat ekonomi dunia iaitu Itali, Perancis dan Brazil selama tujuh hari bermula esok bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Ketiga-tiga negara terbabit merupakan rakan dagang penting Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion) tahun lalu, sekali gus membuka potensi besar untuk pertumbuhan sektor teknologi dan inovasi.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, di ibu negara Itali, Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Giorgia Meloni untuk memperkasa hubungan ekonomi dua hala serta meneroka inisiatif baharu dalam bidang kebudayaan.

Katanya, satu sesi meja bulat perniagaan juga akan diadakan, menghimpunkan peneraju industri dari kedua-dua negara yang pada masa ini merekodkan nilai dagangan antara Malaysia dan Itali berjumlah RM14.61 bilion

“Turut dijadualkan ialah dialog bersama pemimpin komuniti Islam serta pertemuan bersama warga dan diaspora Malaysia yang menetap di Itali,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Tunku Nashrul berkata, seterusnya di Paris, Perdana Menteri akan bertemu Presiden Emmanuel Macron untuk membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, teknologi dan pendidikan.

Katanya, nilai dagangan antara kedua-dua negara kini berjumlah RM15.95 bilion.

Beliau menjelaskan, Anwat turut akan menyertai sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat utama Perancis, berdialog dengan pemimpin komuniti Islam tempatan, serta menyampaikan Syarahan Umum di Universiti Sorbonne.

“Anwar turut meyantuni warga Malaysia di Perancis,” katanya.

Dari Perancis, Anwar akan meneruskan perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Katanya, kehadiran Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan kepentingan multi-lateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan.

Ini termasuk tindakan iklim dan kesihatan global, mewakili aspirasi lebih 650 juta rakyat ASEAN.

Jelasnya, Perdana Menteri dan delegasi akan tiba di Kuala Lumpur pada awal pagi 9 Julai depan dan kemudiannya akan terus menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada hari yang sama.

“Kerajaan Madani menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Rom, Paris dan Rio de Janeiro ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan, dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN.

“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN