Anwar arah isu dadah, vape diselesai segera

Anwar arah isu dadah, vape diselesai segera

ANWAR Ibrahim bergambar kenangan bersama pesara guru selepas Sesi Bersama Pesara Guru 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu berkaitan dadah dan vape dalam kalangan anak-anak perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan masa depan generasi muda, khususnya anak-anak Melayu yang dilihat paling terkesan.

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan belum dapat diselesaikan sehingga kini walaupun berpuluh tahun dibincangkan untuk mencari kaedah menanganinya.

“Tadi mesyuarat Kabinet dadah dan vape dalam kalangan anak anak kita (ada dibincangkan).

“Jadi, tolong lah bincang apakah perlu, kaunseling atau perlu dakwah, (kerana) berpuluh tahun kita fikir belum selesai.

“Ya, betul ada anak Cina, India, tetapi lebih parah anak Melayu, membunuh jiwa mereka dari kecil. Maka kena lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya ketika berucap pada majlis Seminar Malaysia Madani Guru Pemangkin Patriotisma Negara, di sini hari ini.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.

Untuk itu, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan penguatkuasaan itu.

Semalam, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk menggantung lesen, denda maksimum dan pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga vape yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN