PETALING JAYA: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa disarankan untuk membantu Pas memperbetulkan cara parti itu berpolitik berbanding menubuhkan Sekretariat Orang Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan penubuhan sekretariat tersebut dipenuhi dengan muslihat politik.
“Cukuplah kamu (Annuar) duduk dalam Pas, perkuatkan dulu kesatuan kamu di dalam Perikatan Nasional (PN).
“Betulkan cara berpolitik Pas yang bertopengkan agama dan suka menghukum. Itu punca Melayu berpecah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Mohd. Puad, bekas Setiausaha Agung UMNO itu perlu berhenti memeningkan orang Melayu.
“Kamu sudah ada Muafakat Nasional (MN), kami tahulah MN itu bukan lahir atas titik peluh perjuangan kamu, bukan lahir atas peristiwa seperti orang Melayu menentang Malayan Union.
“Jangan peningkan Melayu, payung besar Melayulah, sekretariat orang Melayulah, Melayu terancamlah. Rupanya kamu yang mengancam perpaduan Melayu,” katanya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penubuhan Sekretariat Orang Melayu bukan bertujuan politik, sebaliknya sebagai ‘payung besar’ untuk mengembalikan kuasa politik Melayu serta menangani cabaran semasa yang dihadapi bangsa itu.
Antara pemimpin yang dilaporkan terlibat sama dalam penubuhan sekretariat tersebut adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. – UTUSAN