Anggota polis maut motosikal terbabas dalam perjalanan pulang ke Kedah - Utusan Malaysia

Anggota polis maut motosikal terbabas dalam perjalanan pulang ke Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang dalam perjalanan pulang ke Kedah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 253.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.54 malam itu, Shamsul Ishak, 58, yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengalami beberapa kecederaan termasuk lebam dan calar di rusuk kiri.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Taiping ketika menerima rawatan pada pukul 9.24 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berdasarkan siasatan, mangsa melalui lebuh raya itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha seorang diri untuk pulang ke rumahnya di Alor Setar.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi besi di tengah jalan sebelum tercampak.

“Mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan namun dia disahkan meninggal dunia di sana.

“Ketika kejadian, mangsa didapati sedang bercuti dan dalam perjalanan balik ke rumahnya setelah berjumpa dengan rakan-rakan di serata negeri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, proses bedah siasatan dijalankan pada sebelah pagi bagi mengenal pasti punca kematian sebelum jenazah mangsa dituntut keluarga.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN