TANGKAK: Malaysia dan Indonesia akan sama-sama meneroka hasil bumi di kawasan Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara sementara rundingan diteruskan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedua-dua negara akan dapat manfaat bersama hasil daripada ‘situasi menang-menang’ berkenaan.
“Kita masih berdepan masalah teknikal dalam rundingan berkenaan Ambalat iaitu kawasan kita punya sempadan yang bersempadan dengan Indonesia.
“Ada kawasan-kawasan yang masih belum lagi dipersetujui kedua-dua pihak di mana masing-masing mengatakan ini (Ambalat) adalah kawasan mereka. Malaysia kata sempadan kita, Indonesia kata sempadan dia.
“Jadi sudah berpuluh tahun begitu (perbincangan sempadan yang masih belum dimuktamad), mengapa pihak kita tidak meneroka hasil bumi di situ bersama-sama (Indonesia).
“Kedua-dua negara akan dapat manfaat di mana pada masa yang sama meneruskan perbincangan atau perundingan berkenaan kawasan sempadan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, di sini hari ini.
Tambah beliau, apabila cadangan menang-menang itu disepakati, kedua-dua negara akan mendapat hasilnya dengan cara pembahagian terpulang kepada persetujuan.
“Kajian telah dibuat, di mana di laut situ mempunyai deposit minyak dan gas yang paling banyak. Jadi mengapa perlu kita tunggu, kalau hendak ikut persempadanan sampai 20 ke 30 tahun tidak boleh tercapai.
“Malaysia turut mendapat manfaat dan Indonesia juga mendapat manfaat dalam masa berunding (tentang sempadan) kerana jika masing-masing berkeras tidak mahu bertolak ansur, tiada siapa yang untung,” ujar beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hampir mencapai kata sepakat berhubung Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara.
Namun, masih terdapat beberapa perkara termasuk di bahagian teknikal untuk dikenalpasti serta memuktamadkan kaedah kedua-dua negara dapat menikmati hasil bumi yang ada di Ambalat. – UTUSAN