GERIK: Pemandu bas persiaran yang kemalangan meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu diberi amaran supaya tidak membuat apa-apa dakwaan tentang nahas tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan pemandu itu bahawa brek tidak berfungsi akan dibuktikan menerusi siasatan yang sedang dilakukan.
“Brek tidak berfungsi itu adalah perkara yang boleh kita buktikan sama ada betul atau tidak. Kita tidak boleh mengambil secara permukaan sahaja apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut, sama ada dia bercakap benar atau tidak.
“Saya hendak memberi amaran kepada pemandu itu, awak jangan cuba hendak menyatakan sesuatu yang tidak benar kerana itu boleh dibuktikan melalui ujian mekanikal,” katanya kepada pemberita semasa meninjau bangkai bas tersebut di luar bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
Katanya, terdapat juga beberapa perkembangan lain turut disiasat termasuk rakaman video yang menunjukkan bas itu memotong kenderaan di selekoh.
Dalam kejadian tersebut, bas persiaran membawa 44 penumpang termasuk dua pemandu itu, terbabas dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga di selekoh kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding.
Anthony berkata, syarikat pengendali bas itu juga boleh diheret ke mahkamah jika didapati gagal mengendalikan perkhidmatan mereka dengan berkesan.
“Sebelum ini pernah juga ada kes yang kita bawa ke mahkamah yang melibatkan pengendali walaupun dia bukan pemandu.
“Sebagai pemilik syarikat pengendali, mereka juga ada tanggungjawab. Dalam kes ini memang saya rasa patut buka kertas siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan selepas itu akan dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya. – UTUSAN