Alpha bakal terima bimbingan koreografer ternama Korea Selatan - Utusan Malaysia

Alpha bakal terima bimbingan koreografer ternama Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: kumpulan Alpha yang lahir menerusi program Big Stage Alpha sedang menghitung hari menjelang sesi latihan di Korea Selatan yang dijadualkan bermula beberapa bulan akan datang.

Ahli kumpulan itu yang juga Naib Juara rancangan berkenaan, Ray-D teruja untuk menjalani sesi tersebut yang akan dikendalikan tenaga pakar dalam dunia muzik K-Pop.

“Saya memang peminat muzik K-Pop dan tentunya tak sabar ke Korea Selatan untuk menuntut ilmu.

“Lebih menambah keterujaan saya apabila latihan kami nanti bakal dikendalikan Koreografer ternama, Jay Kim.

“Tak sabar rasanya untuk belajar bentuk tarian baharu yang diajarkan beliau nanti,” katanya.

Big Stage Alpha melabuhkan tirai baru-baru ini dengan peserta, Ariel Fesol dinobatkan sebagai juara.

Program tersebut melahirkan kumpulan Alpha yang selain Ariel dan Ray-D, turut dianggotai Araff, Rizal, Daniel, Izat dan Afiq Sky.

Kesemua anak muda itu selepas ini akan diterbangkan ke Korea Selatan bagi menjalani latihan intensif selain merakamkan lagu baharu.

Penyertaan mereka dalam latihan itu juga akan didokumentasikan menerusi sebuah rancangan yang akan ditayangkan di Astro nanti.

Ray-D atau nama penuhnya Ariff Hilmy Muhammad Amir juga tidak sabar memperbaiki kebolehan nyanyiannya menerusi latihan intensif itu nanti.

“Benar apa yang pengikut program Big Stage Alpha perkatakan mengenai kemampuan nyanyian saya sebelum ini.

“Saya akui kelebihan saya terletak pada tarian serta persembahan dan Alhamdulillah ramai penonton rancangan ini yang menghargai kebolehan saya.

“Dan saya amat bersetuju yang saya ini perlu mengikuti latihan vokal. Saya tahu potensi nyanyian saya boleh berkembang, cuma ia perlu diasah lagi,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN