PETALING JAYA: Tampil berani mengetengahkan sisi seni yang lebih segar dan matang, penyanyi Bunga Isme bakal melancarkan album sulungnya tidak lama lagi.
Bunga Isme atau nama lengkapnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari,25, berkata, album itu mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan kerana komitmennya sebagai pelajar pada ketika itu.
“Masa mulakan projek album ini, saya masih dalam pengajian ijazah sekitar 2003 sangat mencabar.
“Saya tidak keluarkan apa-apa lagu kecuali beberapa ‘featuring’ single dengan artis lain. Jadi pada tahun lepas saya betul-betul fokus kembali pada karier ini,” katanya.
Penyanyi lagu Memahami itu turut berkata, album berkenaan memuatkan 10 buah lagu lima lagu baharu dan lima lagu lama yang belum pernah dirakam dalam versi album penuh.
“Ada lagu seperti Hitam Bayu, dan juga beberapa lagu yang belum didedahkan lagi.
“Konsep album ini memang pelbagai kerana saya mahu tonjolkan sisi Bunga yang berbeza.
“Setiap lagu dalam album ini dibawakan dengan genre dan mood berbeza termasuk reggaeton moden, R&B, pop ballad, hip hop, dan elemen tradisional,” katanya.
Sementara itu, dia juga bekerjasama dengan komposer seperti Amzah Sabri dan AJ.
Bunga juga memberi bayangan akan berkolaborasi dengan penyanyi bersuara lunak seperti Asmidar, yang merupakan idolanya.-UTUSAN