Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkuat kuasa dalam masa terdekat

Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkuat kuasa dalam masa terdekat

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 telah diwartakan dan bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat sebagai langkah penting untuk memperkukuh kawal selia terhadap ancaman siber di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan akta itu penting bagi memastikan penyedia platform digital bertanggungjawab dalam menangani pelbagai bentuk gangguan dan ancaman dalam talian.

“Apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menandatangani, akta ini akan mula berkuat kuasa serta-merta.

“Ini penting agar penyedia platform digital dapat memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang telah termaktub dalam undang-undang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara, di sini hari ini.

OnSA 2024 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, menetapkan tiga tanggungjawab utama yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia platform media sosial.

Antaranya, menjamin keselamatan dan integriti platform mereka daripada penyalahgunaan, gangguan dan aktiviti berbahaya, melindungi pengguna bawah umur 13 tahun daripada eksploitasi atau kandungan yang tidak sesuai dan mengehadkan serta membendung penyebaran kandungan berbahaya.

Azalina berkata, sebuah jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menyokong pelaksanaan akta tersebut.

“Jawatankuasa ini akan merangka takrifan yang jelas mengenai bentuk ancaman dalam talian yang perlu ditangani oleh penyedia platform supaya pelaksanaan undang-undang dapat dilakukan secara lebih sistematik dan menyeluruh,” ujarnya.

Menurut Azalina, akta tersebut bukan sahaja menjadi garis panduan kepada penyedia platform digital, malah satu bentuk jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam melindungi keselamatan siber dan kesejahteraan pengguna dalam talian.

“Perlu diingat, undang-undang ini tidak bertujuan mengekang kebebasan bersuara, tetapi untuk memastikan ruang digital kita tidak menjadi medan penyalahgunaan yang merosakkan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau lagi, Akta OnSA 2024 merupakan antara komponen utama dalam agenda reformasi institusi yang digerakkan kerajaan, khususnya dalam menangani cabaran era digital yang semakin kompleks. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN