PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan laluan kontra di Lebuhraya Utara-Selatan antara Simpang Ampat dan Ayer Keroh bermula malam ini hingga esok dari pukul 11 malam hingga 6 pagi.
PLUS dalam kenyataan berkata, langkah itu bagi membolehkan kerja pemasangan gantri paparan mesej elektronik oleh kontraktor pihak ketiga dijalankan di lokasi berkenaan.
Restoran Jejantas Ayer Keroh di Kilometer (KM) 210 (akses masuk dari arah selatan) dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah selatan di KM209 akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut PLUS, pengguna lebuh raya dinasihatkan menggunakan kemudahan alternatif seperti R&R Seremban (KM274.4), Hentian Sebelah Senawang (KM249), Hentian Sebelah Pedas Linggi (KM230), Hentian Sebelah Kampung Bemban (KM184) atau R&R Pagoh (KM135).
“Kami mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas, selain mendapatkan maklumat trafik terkini melalui Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X @plustrafik atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
“Bagi bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000,” katanya. – UTUSAN










