PETALING JAYA: Sindiket menyeleweng dan menyimpan diesel secara haram terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih menyerbu dua lokasi berasingan di Jalan PJU 1/23 di sini, semalam.
Operasi pukul 12.30 tengah malam itu dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Jafri Muhamad berkata, dalam operasi pertama, empat lelaki termasuk dua lelaki warga Myanmar ditahan.
Katanya, pemeriksaan menemukan kira-kira 2,500 liter diesel bersama dua kepala lori, sebuah lori, empat tangki IBC (intermediate bulk container), sebuah tangki skid, dua pam penyedut jenis digital serta lima telefon bimbit pelbagai jenama.
“Serbuan kedua pula, kita menemukan 8,000 liter diesel bersama sebuah tangki skid dan pam penyedut berserta getah paip yang dipercayai digunakan untuk memindahkan serta menyimpan diesel secara haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jafri berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM602,220.
“Kesemua tangkapan serta barangan dirampas dibawa ke IPD Petaling Jaya dan KPDNHEP Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959,” katanya. – UTUSAN










