KOTA BHARU: Kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang menggunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan dalam jangka panjang akibat daripada kandungan besi (Fe) dan mangan (Mn) yang tinggi dalam air bawah tanah.
Kajian menunjukkan paras Fe di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/L manakala Mn sebanyak 0.76 mg/L – jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu masing-masing 0.3 mg/L dan 0.1 mg/L.
Laporan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pula mendapati paras Fe antara 1.5 hingga 4.2 mg/L dan Mn antara 0.3 hingga 0.8 mg/L di Pasir Mas dan Tumpat.
Selain risiko kesihatan jangka panjang, air tercemar turut menyebabkan pakaian putih bertukar kuning, kuku kehitaman serta jubin rumah kotor.
Masalah ini memerlukan penyelesaian segera demi keselamatan dan kesihatan rakyat negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Prof.
Madya Dr. Wan Mohd. Faizal Wan Ishak berkata, penggunaan air bawah tanah yang mengandungi besi dan mangan melebihi had piawai tanpa tapisan boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Katanya, walaupun besi merupakan mikronutrien penting, kandungan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan masalah perut, cirit-birit dan gangguan sistem penghadaman.
“Mangan dalam dos berlebihan pula boleh memberi kesan neurologi terutama kepada kanak-kanak,” katanya.
Wan Mohd. Faizal berkata, keladak atau zarah terampai boleh menjadi medium pembiakan bakteria dan patogen sekiranya air tidak ditapis serta dirawat dengan betul.
Katanya, struktur geologi Kelantan yang terdiri daripada batuan sedimen, lempung, laterit dan tanah aluvium menyumbang kepada pembebasan logam-logam semula jadi ini ke dalam air bawah tanah.
“Situasi itu terjadi melalui proses luluhawa kimia dan pelarutan mineral seperti hematit dan goetit. Ini juga boleh menyebabkan air menjadi berwarna kekuningan atau kemerahan dan berbau logam, berminyak jika tidak ditapis atau dirawat,” katanya.
Sementara itu, pemasangan penapis di negeri ini sudah menjadi perkara wajib dalam kalangan penduduk bagi mendapat bekalan air bersih dan bebas dari bau, berminyak serta karat yang boleh menjejaskan kehidupan harian.
Mohd. Nazaruddin Mohd. Zawawi, 40, yang merupakan salah seorang penyedia perkhidmatan berkata, setiap bulan dia akan memasang lebih 30 unit penapis air di seluruh negeri ini.
Katanya, jumlah itu bertambah setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ia membuatkannya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai.
“Sumber air bawah tanah yang tidak melalui proses tapisan memberi kesan kepada pengguna. Sebagai contoh kuku yang bersih akan jadi hitam, kulit menjadi gagal, masalah kelemumur dan banyak lagi.
“Sebagai contoh sumber air bawah tanah di kawasan pantai biasanya berminyak dan masam kelat. Kalau kawasan Pasir Mas air bukan sahaja merah, berminyak malah berbau seperti bangkai binatang.
“Ada sesetengah kawasan itu penuh dengan keladak, berminyak dan berbau. Semua ini boleh memberikan kesan tidak baik kepada kesihatan,” katanya.
Mohd. Nazaruddin yang dikenali sebagai ‘Doktor Air’ memberitahu, keadah manual menggunakan batu-batuan, pasir dan karbon aktif menjadi solusi terbaik dalam menyelesaikan masalah kandungan Fe, Mn, keladak dan berbau yang ada pada air di negeri ini.
Katanya, kaedah ini bukan sahaja dapat mengasingkan kandungan Fe, Mn dan lain-lain malah menjadikan air lebih bersih dan bersifat alkali sekali gus selamat untuk digunakan.
“Sebelum ini ada pelanggan menggunakan penapis yang diimport dari Jepun, namun tidak sesuai dengan sumber air bawah tanah di Kelantan. Jadi bila guna kaedah manual ini, mereka dapat kualiti air lebih baik.
“Cara ini bukan sahaja jimat, malah mudah untuk diselenggara,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd. Lokman Syafie, 43, terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri bagi memasang penapis selepas air dari telaga tiub yang digalinya berbau serta berminyak.
Katanya, walaupun belanja pasang penapis air agak mahal, dia tidak mempunyai pilihan.
“Saya gali telaga tiub selepas bekalan air yang disediakan oleh kerajaan berkarat.
“Jadi ia tidak sesuai untuk kegunaan harian. Alhamdulillah, sejak saya gunakan penapis melalui kaedah manual ini, bekalan air bukan sahaja bersih malah tidak lagi berbau sebagaimananya sebelumnya,” katanya. – UTUSAN










