Kelantan rangka kertas kerja selesai masalah air

Kelantan rangka kertas kerja selesai masalah air

MOHD. Nasuruddin Daud (dua kanan) diberikan taklimat berkait dengan operasi Loji Rawatan Air Mini Meranti Baharu di Meranti, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan sedang merangka kertas kerja berkait masalah bekalan air untuk diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam usaha menyelesaikan perkara tersebut yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia merangkumi hala tuju kerajaan negeri dalam kerja-kerja penggantian paip secara menyeluruh dan berperingkat-peringkat di Kelantan.

“Untuk makluman, kita mempunyai lebih kurang 4,000 kilometer (km) paip yang bermasalah di seluruh negeri. Kita perlu melihat perkara ini (kerja-kerja penggantian paip) dari segi masa dan kewangan.

“Insya-Allah, semua perkara ini kita akan teliti dalam mesyuarat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) nanti. Hal ini bagi memastikan fokus Menteri Besar (Datuk Mohd. Nassuruddin Daud) untuk melihat masalah ini (air) berjaya diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Mini Meranti Baharu di Meranti, di sini hari ini.

Perasmian loji itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, pada masa sama pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Katanya, tiada kerajaan negeri yang mampu menyelesaikan masalah ini tanpa sokongan dan bantuan daripada persekutuan.

“Dengan kerjasama baik ini (negeri dan persekutuan) kita dapat selesaikan masalah. Rakyat Kelantan yang menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat melibatkan semua tanpa mengira fahaman politik.

“Oleh itu, saya mohon Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri untuk seluruh rakyat dan bukan parti tertentu sahaja,” ujarnya.

Mengulas mengenai Loji Rawatan Air Mini Meranti Baharu, Dr. Izani berkata, ia mampu memberi manfaat kepada 4,300 akaun pengguna.

Katanya ia merangkumi keperluan di Kampung Berangan, Jeneris, Kubang Chenak, Perupok, Banggol Nangka dan Tok Midin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya