Aidiladha disambut sederhana tetapi meriah di Perlis

Aidiladha disambut sederhana tetapi meriah di Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat Aidiladha bersama rakyat jelata di Dataran Istiadat Istana Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau, di sini hari ini.

Solat tersebut dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor manakala khutbah disampaikan Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan dan barisan Exco kerajaan negeri.

Selepas solat, baginda berdua turut berkenan beramah mesra bersama jemaah yang hadir.

Sementara itu, sambutan Hari Raya Aidiladha di negeri ini diraikan serba sederhana tetapi meriah dengan hujan berterusan di negeri ini sejak tengah hari.

Meskipun hujan, ibadah korban tetap dilaksanakan dengan pada tahun ini sebanyak 551 ekor lembu dikorbankan di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, bekalan lembu bagi tujuan korban di negeri ini mencukupi dalam memenuhi permintaan bersempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Katanya, pada tahun ini, Permit Sembelihan Luar bagi tujuan korban telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri ialah melibatkan sebanyak 551 ekor lembu, 162 ekor kambing dan 25 ekor biri-biri.

“Berdasarkan maklumat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula dianggarkan sebanyak 30 peratus lembu telah diimport masuk bagi kegunaan negeri ini melalui Padang Besar untuk tujuan korban.

“Mengikut data, 95 peratus permohonan permit perjalanan ternakan korban ke lokasi sembelihan seperti masjid dan tapak persendirian juga adalah dari negeri ini manakala baki lima peratus lagi adalah dari Kedah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN