BATU PAHAT: Semua ahli UMNO perlu mempunyai nilai kesetiaan kepada parti kerana ia sebagai benteng daripada membuat keputusan-keputusan berat dan membantu melahirkan ketumbukan yang boleh berhadapan dengan apa juga cabaran.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, faktor yang penting sekarang ini adalah untuk memastikan kejayaan berhadapan cabaran mengembalikan kedudukan parti.
Katanya, keadaan itu penting apabila hanya berbaki kira-kira 21 bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 30 bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) untuk memperkukuh kembali kedudukan parti.
“Faktor penting kalau kita nak pastikan kita berjaya berhadapan dengan cabaran mengembalikan parti kita, ialah kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.
“Sebelum kita berhadapan dengan rakyat, kita perlu pastikan wujud kesetiaan dalam parti kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar dan Timbalan Ketua UMNO bahagian, Yusla Ismail.
Menteri Pertahanan itu turut menyentuh soal ketidaksetiaan segelintir pemimpin dalam parti yang memilih untuk melompat demi kepentingan peribadi.
“Sungguh malang kerana parti kita masih lagi ada pemimpin yang melompat dan sebagainya.
“Saya percaya mereka bertukar haluan melompat sana sini bukan kerana perjuangan tapi lebih kerana jawatan dan juga pangkat dan juga kedudukan.
“Kita tahu melalui kesetiaan ia boleh bantu parti dan ia boleh membantu kita untuk melahirkan ketumbukan sebagai sebuah perjuangan yang boleh melalui segala cabaran yang kita,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada konflik antara Iran dan Israel sebagai perbandingan mengenai erti kesetiaan rakyat kepada negara.
“Kita tengok perang Israel dan Iran. Walaupun dalam negara Iran itu ada lebih kurang 20 peratus Yahudi. Orang Yahudi tapi rakyat Iran dan mereka setia kepada Iran. Dia menyatakan kenyataan menyokong kerajaan dan kepimpinan Iran untuk melawan Israel.
“Kita tiada perang, tiba-tiba ada yang lompat. Apa punya cerita. Tapi yang lebih penting, kita harap mana-mana parti yang menjadi rakan kita jangan terima mana-mana pihak yang lompat parti. Ini mesej yang hendak saya sampaikan,” ujarnya. – UTUSAN