Ahli majlis PBT didakwa rogol gadis

Ahli majlis PBT didakwa rogol gadis

MUHAMMAD Jaya Murugan Abdullah (tengah) semasa dibawa anggota polis untuk menghadiri prosiding pertuduhan kes rogol di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSLAWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita yang juga merupakan pekerjanya di sebuah kedai dobi di Kuala Krai, dekat sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Jaya Murugan Abdullah, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun tanpa kerelaannya di sebuah kedai dobi di Kuala Krai,i kira-kira pukul 2 petang pada 29 Mei lalu.

Muhammad Jaya Murugan dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri dua bulan sekali di balai polis terdekat selain tidak mengganggu mangsa.

Ariff Azami dalam rayuannya memohon ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan alasan anak guamnya turut bertugas sebagai Ketua Komuniti India dan mempunyai 12 anak dalam jagaannya termasuk anak tiri. 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin selain menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×