50 tahun KRT eratkan perpaduan masyarakat - Utusan Malaysia

50 tahun KRT eratkan perpaduan masyarakat

K. SARASWATHY melakukan gimik perasmian Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Terengganu di Kemaman, Terengganu.. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan hanya berperanan menjaga keselamatan di kawasan kejiranan, malah menjadi ejen perpaduan antara masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, KRT yang ditubuhkan pada 1975 dan mencapai usia 50 tahun pada tahun ini berkembang daripada rondaan keselamatan kepada satu gerakan akar umbi yang menyentuh pelbagai aspek kejiranan, kesejahteraan sosial, pendidikan, ekonomi komuniti dan pemuliharaan budaya.

“Rukun Tetangga bergiat aktif dalam menyatukan perpaduan termasuk dalam media sosial, anggota rukun tetangga turut memainkan peranan termasuk di mana-mana sahaja yang mungkin akan berlaku ketegangan antara kejiranan.

“Anggota rukun tetangga juga bersama polis berperanan menyelesaikan pelbagai isu yang timbul,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini.

Saraswathy berkata, sehingga kini, terdapat 8,565 KRT yang berdaftar di seluruh negara dengan disertai pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, kementeriannya melakukan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam KRT.

“KRT bukan hanya disertai golongan dewasa, malah kita sangat galakkan golongan belia menyertai KRT dan kita turut mengadakan pelbagai program untuk menarik golongan ini.

“Perpaduan perlu dijadikan sebagai budaya hidup, bukan hanya semangat bermusim dan kita perlu sama-sama menjunjung prinsip Rukun Negara dengan mengamalkan nilai faham, hormat dan terima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN