MELAKA: Seramai 47 orang warga emas dari Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pakej haji disyaki memasuki Arab Saudi melalui negara ketiga sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah menggunakan laluan tidak rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat awal, kumpulan warga emas itu dipercayai tiba di Jeddah melalui transit di negara lain dan bukan terus dari Malaysia.
Menurutnya, adalah sukar untuk pihak berkuasa mengesan jemaah terbabit jika mereka memasuki Jeddah melalui negara lain.
“Saya dimaklumkan mereka keluar melalui Jeddah, namun bukan melalui laluan biasa, ada kemungkinan mereka transit dahulu ke negara lain sebelum masuk ke Arab Saudi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Saya juga yakin syarikat yang menguruskan mereka bukan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen yang mendapat tauliah daripada Tabung Haji,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada komuniti Orang Asli di Surau Al-Munawwarah, Bukit Seraya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seramai 47 orang warga emas Malaysia yang mahu menunaikan haji ditipu ejen haji tempatan.
Sebaik tiba di Jeddah, Arab Saudi, kesemua mereka dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah ekoran kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap mereka yang tidak mempunyai visa haji.
Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, pihaknya kini sedang menyemak latar belakang agensi pelancongan yang menguruskan kumpulan warga emas berkenaan dan meneliti sama ada ia pernah mendapat kebenaran rasmi daripada Tabung Haji.
“Kami minta pihak berwajib siasat segera dan semak sama ada ejen ini memang pernah ada rekod sebagai PJH, atau ini kali pertama mereka menipu jemaah dengan pakej tidak sah.
“Saya juga dimaklumkan ada kemungkinan ejen ini menggunakan nama individu yang dikenali sebagai agamawan untuk meyakinkan mangsa,” ujarnya. – UTUSAN