30,000 dijangka kunjungi Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025

30,000 dijangka kunjungi Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 di Manjung

MURID sekolah membuat latihan tarian sebagai persediaan menyertai pertandingan sempena Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung bermula dari 26 Jun hingga 29 Jun ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sejak bertahun lamanya, sering timbul perbezaan pandangan tentang Rebana Perak dalam kalangan pemain alat muzik warisan tradisional tersebut.

Hal itu kadangkala membuatkan alat muzik turun-temurun negeri Perak kurang menarik minat golongan muda disebabkan disiplin tradisi yang mahu dikekalkan.

Keadaan itu membuatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak mengambil inisiatif bagi mengangkat populariti alat muzik tersebut yang dikatakan berasal dari dunia Arab tetapi telah diolah mengikut budaya Melayu.

Orang ramai boleh melihat dekat peralatan Rebana Perak dan cara ia dimainkan menerusi penganjuran Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini yang berlangsung selama empat hari dari 26 Jun hingga 29 Jun ini.

Timbalan Pengarah JKKN Perak, Hisham Mat Husien berkata, pihaknya mahu mengangkat semula identiti alat muzik tradisi itu dengan mendedahkannya kepada orang ramai.

“Walaupun ada yang berbeza pandangan tentang Rebana Perak, kami mahu mempopularkan alat muzik ini. Malah klinik seni budaya Rebana Perak dan Dabus turut diadakan untuk didedahkan kepada para pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut JKKN, Rebana Perak sangat terkenal khususnya di kawasan persisiran Sungai Perak merangkumi daerah Kuala Kangsar hingga ke selatan di Bagan Datuk. 

Perkataan Rebana berasal daripada dua perkataan Arab iaitu ‘Rab’ bermakna ‘pukulan’ dan ‘Na’ bermakna ‘kami’. 

Pengunjung malah boleh menyaksikan Persembahan Moh Rebana 5.0 iaitu pertunjukan permainan alat muzik itu untuk tempoh selama empat jam tanpa henti melibatkan lebih 100 pemain rebana.

Malam Gala Perasmian Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 akan diadakan pada Sabtu 28 Jun pada pukul 9 malam dengan menampilkan artis Nadeera Zaini dan Fairuz Selamat.

Hisham berkata, Temasya Budaya tersebut merupakan tahun keempat dianjurkan yang mana tahun lepas diadakan di Teluk Intan dengan kejayaan menarik 25,000 pengunjung.

Katanya, dijangkakan seramai 30,000 pengunjung akan hadir ke program tahun ini yang turut menerapkan aspek kerohanian bersempena tarikh awal Muharam pada 27 Jun.

“Seperti tahun lepas, program Dakwah Street akan diadakan pada 26 Jun iaitu di mana orang ramai boleh didedahkan bagaimana wuduk boleh diambil dengan berbekalkan air botol minuman. Solat berjemaah turut diadakan di pekarangan stadium ini,” katanya.

Jelasnya, penganjuran akan turut menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Harryanto Rizal Rokman dengan tajuk Hijrah Permulaan dan Pengakhiran “Program ini juga diharap mendedahkan kepada generasi muda terhadap kebudayaan warisan kita meliputi pelbagai bangsa,” katanya.

Antara pengisian program yang unik ialah Moh Melabun bagi menceritakan mengenai asal usul daerah Manjung, pertunjukan adat cukur jambul, penceritaan tentang masyarakat Banjar serta pertandingan tarian Dabus.

Kata Hisham, program turut mendapat penyertaan murid dan pelajar sekolah yang akan membuat persembahan, gerai niaga penduduk Manjung selain sokongan pelbagai agensi kerajaan serta swasta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN