279 warga asing dihalang masuk

279 warga asing dihalang masuk

KEMASUKAN warga asing ke negara ini mencecah seramai 39.1 juta orang sepanjang tahun lalu.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 279 warga asing terdiri daripada rakyat Bangladesh, Pakistan dan India dihalang masuk kerana tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Agensi Kawalan Pintu Sempadan dalam satu kenyataan berkata, jumlah pengusiran itu merupakan rekod harian tertinggi bagi kes ‘Not To Land’ (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau AKPS KLIA pada 2023.

Katanya, trend kemasukan warga asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat, khususnya ketika kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia.

“Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan.

“Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta, selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS,” katanya hari ini.

Menurut AKPS lagi, langkah pengusiran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu dalam memperketatkan kawalan keselamatan sempadan, sekali gus memastikan hanya individu yang layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini.

“Sejak ditubuhkan, Pasukan Pemantau AKPS KLIA memberi impak positif dalam mempertingkat keberkesanan saringan awal serta pengesanan pelawat berisiko.

“Kejayaan ini sekali lagi membuktikan komitmen AKPS dalam melaksanakan pemantauan secara tegas dan konsisten, demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN