JOHOR BAHRU: Sebanyak 222 projek dianggarkan bernilai RM10 bilion di negeri ini yang sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu, masih belum dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek-projek tersebut melibatkan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan, masjid, hospital dan klinik kesihatan.
“Semua ini untuk rakyat, tapi sampai sekarang pun belum mula. Bila saya tanya dalam mesyuarat, mereka kata jangan risau dan akan semak dengan kementerian masing-masing dan akan luluskan.
“Sebab itu, kita kena turun padang dan semak, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat, jangan masuk mesyuarat nak melawa sahaja. Kalau projek tak jalan, semua peruntukan ini tak diguna pakai dengan sebaiknya
“Jika projek ini tidak dilaksanakan, bukan agensi kerajaan yang dimarahkan sebaliknya pemimpin UMNO di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau 2025, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin di peringkat Pusat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan negeri dengan meluluskan projek-projek untuk rakyat ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, Kerajaan Pusat boleh menjadikan Johor sebagai perintis kepada keberkesanan cadangan tersebut.
“Jika tak nak buat satu Malaysia, jadikan Johor sebagai negeri rintis. InsyaAllah, pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor ini akan amanah, menggalas tanggungjawab itu demi agama bangsa dan tanah air.
“Saya tak suka marah orang, tapi bila bersangkut paut kemaslahatan rakyat, jangan sekali-kali uji saya. Saya akan berjuang habis-habisan untuk rakyat dan bangsa Johor, itu semangat UMNO Johor,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat bahagian itu berterusan turun padang bagi merasai dan menjiwa denyut nadi rakyat dan pastikan setiap usaha yang dilakukan kerajaan sampai ke peringkat akar umbi. – UTUSAN










