17 peranti perubatan selamat digunakan

17 peranti perubatan selamat digunakan

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 17 peranti perubatan dijual dalam talian yang sebelum ini gagal ujian keselamatan, kini selamat digunakan orang awam.

Peranti yang terlibat ialah oxygen concentrator jenama Dynmed, Angel Biss (SH01) dan Carer; alat menguji tekanan darah (BPLife, Novoplus, Yuwell dan Ouson+); glucose meter (Roche, Sinocare dan Yasee); termometer (BioCare, Scaneo dan Ouson+); serta sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan (Gammex, Shirudo, Puritex dan Infinity Latex).

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasu berkata, berdasarkan penelitian laporan siasatan serta pengujian semula yang dikemukakan, pihaknya merumuskan bahawa kesemua peranti perubatan berkenaan kini memenuhi piawaian dan selamat serta berkesan untuk terus digunakan orang awam.

Katanya, siasatan menyeluruh serta tindakan pembetulan dijalankan oleh semua syarikat susulan laporan MDA pada 15 Februari lalu berhubung kegagalan peranti perubatan terbabit dalam ujian pematuhan.

“Semua syarikat yang terlibat telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan siasatan penuh. Ini selaras dengan tanggungjawab pasca pasaran yang digariskan dalam Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Muralitharan, tindakan komprehensif seperti penambahbaikan sistem kawalan kualiti, pematuhan terhadap garis panduan peraturan serta peningkatan ketelusan dalam pengurusan isu keselamatan dan keberkesanan peranti terbabit, membantu memulihkan keyakinan pengguna.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati semasa membeli peranti perubatan dalam talian.

“Orang ramai perlu memastikan peranti perubatan yang dibeli adalah berdaftar dengan MDA serta dijual syarikat yang berlesen,” katanya.

Maklumat lanjut dan saluran untuk aduan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi MDA di www.mda.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-82300300.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN