13 jenazah pelajar UPSI tiba di Terengganu

13 jenazah pelajar UPSI tiba di Terengganu, disembahyangkan di Masjid Hadhari

SEBANYAK 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu sebelum dibawa pulang oleh ahli keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sebanyak 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merupakan mangsa kemalangan di Gerik, Perak, selesai disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jertih, di sini sebelum dibawa pulang oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Semua jenazah yang dibawa pulang menggunakan van jenazah disediakan oleh Badan Amal Tengku Harith Team Venture (THTV), Badan Amal Besut dan Care Ummah itu tiba di pekarangan masjid berkenaan, kira-kira pukul 3 pagi.

Jenazah terbabit ialah Allahyarham Fakhrul Arif Rosi, Mohamad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, Nik Amani Nadiah Nik Nor Zabir, Nur Ainul Qistina Mat Ali Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, Nurly Sahirah Azman, Nurul Fatihah Abu Setaman, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, Sufea Adela Maslihaizan, Fatin Nasrien Fadli, Muhammad Mustaqim Rosde, Anis Soffiyya Md. Zaidi dan Nor Ayuni Maslan.

Kesemua jenazah yang siap dikafankan disolatkan buat kali kedua di masjid itu pada pukul 3.15 pagi oleh lebih 1,000 ahli khariah dan ahli keluarga mangsa. Solat jenazah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sementara itu, Pengasas THTV, Tengku Harith Tengku Aziz berkata, 13 buah van jenazah disediakan selain lima buah lagi van turut disediakan sebagai back up ketika berkonvoi dari Ipoh ke Besut.

Menurutnya, konvoi membawa pulang jenazah turut membabitkan 30 kenderaan milik ibu bapa dan ahli keluarga mangsa nahas. Turut memberi penghormatan terakhir ialah 160 pelajar UPSI yang menaiki empat buah bas.

Terdahulu, perjalanan kembali ke kam­pus 15 pelajar UPSI Tanjung Malim dilaporkan berakhir tragedi
apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Ki­ lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, dekat sini, awal pagi semalam.

Jenazah dua lagi mangsa iaitu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, terlebih dahulu selamat dikebumikan, masing-masing di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak di Hulu Besut serta Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, di sini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN