JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran mengesahkan menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden PKR bagi pemilihan parti 2025–2028 pada hujung bulan ini.
Yuneswaran berkata, sebagai anak muda yang telah bersama parti sejak awal, beliau percaya PKR mesti menjadi jambatan antara idealisme generasi baharu dan kebijaksanaan generasi terdahulu.
Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, seseorang tidak boleh hanya menunggu perubahan berlaku sebaliknya harus menjadi sebahagian daripadanya.
“Saya hadir dengan hati yang tenang dan komitmen yang jelas iaitu untuk terus menyumbang secara lebih bermakna dalam kepimpinan tertinggi parti dan memastikan PKR kekal sebagai wadah perjuangan yang tulen, relevan dan diyakini rakyat Malaysia.
“Kepemimpinan bukan soal gelaran, ia soal amanah. Saya dengan rendah hati memohon sokongan anda, bukan atas nama peribadi tetapi atas nama perjuangan yang kita junjung bersama,” katanya dalam kenyataan.
Yuneswaran yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata, beliau yang menyertai PKR sejak 17 tahun lalu berpegang teguh pada prinsip bahawa politik bukan sekadar ruang untuk berkuasa, tetapi medan untuk berkhidmat.-UTUSAN