MELAKA: Lelaki warga Pakistan ditahan kerana disyaki mencabul seorang penuntut wanita di sebuah universiti dalam kejadian di Jalan Ayer Keroh Lama di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika mangsa yang berusia 21 tahun berjalan kaki dari kediamannya di Bukit Beruang menuju ke Universiti Multimedia (MMU) untuk menghadiri kelas.
“Ketika melalui kawasan tangga berdekatan medan selera Ixora, mangsa bertembung dengan seorang lelaki yang berjalan dari arah bertentangan dan semasa memberi laluan, suspek tiba-tiba memeluk dan mencium pipi mangsa.
“Mangsa yang terkejut cuba melarikan diri, namun berlaku pergelutan yang menyebabkan kecederaan pada bahagian lengan sebelum mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.
Christopher berkata, suspek berjaya ditahan orang awam di belakang sebuah restoran di Bukit Beruang kira-kira pukul 1 pagi, semalam sebelum diserahkan kepada polis.
“Suspek berusia 31 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan dan tinggal di kawasan Bukit Beruang.
“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau melibatkan kesalahan dengan Jabatan Imigresen,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan wanita.
Terdahulu, gambar suspek tular di media sosial dengan melabelkannya sebagai ‘lelaki miang’ manakala penduduk sekitar Bukit Beruang diminta berhati-hati dengan keberadaan suspek. – UTUSAN