JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan sebanyak RM2,000 kepada anggota penguat kuasa di Iskandar Puteri, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sia Joo Hoe, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi wang tunai berjumlah RM2,000 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di Jabatan Penguatkuasaan MBIP, Iskandar Puteri kira-kira pukul 9 pagi, 30 Ogos 2022.
Pesara swasta tersebut didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang paling lama diperuntukkan bagi kesalahan itu atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam bela Chuah Shyue Chien.
Pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Shyue Chien memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh tinggal bersama suami dan menjaga seorang cucunya yang berusia sembilan bulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN