Pengasas eHATI mahu ambil tindakan undang-undang

Pengasas eHATI mahu ambil tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengasas eHATI International Sdn. Bhd. (eHATI) kini sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan tidak berasas.

Pasangan suami isteri, Diyana Tahir dan Rahim Shukor berkata, semua kenyataan pernah dikeluarkan bersifat berniat jahat serta menjejaskan reputasi, kredibiliti dan operasi sah program yang dianjurkan oleh syarikat tersebut.

Katanya, eHati menolak sepenuhnya segala dakwaan kononnya program ditawarkan mengandungi unsur yang boleh menggugat pegangan akidah umat Islam atau bercanggah dengan maqasid usul akhlak mulia.

“Program anjuran eHATI tidak sama sekali mengabaikan atau mengetepikan nilai-nilai agama Islam, institusi perkahwinan mahupun peranan pasangan dan keluarga.

“Setiap modul yang dibangunkan selaras dengan misi dan objektif syarikat iaitu membantu wanita menangani cabaran emosi dan psikologi dalam kehidupan seharian melalui pendekatan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan norma sosial.

“Kami mengambil pendekatan profesional serta berpandukan etika dalam setiap program yang ditawarkan. Dakwaan kononnya terdapat unsur menyeleweng dalam program kami adalah tidak benar dan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasangan suami isteri itu turut menegaskan eHATI tidak mempunyai sebarang kaitan atau penglibatan dengan mana-mana parti politik kerana ia sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh pengasasnya dan beroperasi secara bebas tanpa sebarang hubungan politik.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Julai lalu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap pihak-pihak terlibat dan tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera.

“Selain itu, kami turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara ini dan sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa agar satu jalan penyelesaian dapat ditemukan,” katanya.

Mereka turut menyarankan agar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak berkuasa berkaitan supaya menyelidik terlebih dahulu maklumat yang tular di media sosial sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kami berharap agar semua pihak bersikap adil dan tidak menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa,” katanya.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan pengguna media sosial mengenai program yang dianjurkan pasangan suami isteri dengan mendakwa berlakunya tarian bogel di dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor itu.

Peserta program itu juga didakwa diberi minum sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.

Selain itu, peserta turut diarahkan melakukan upacara ‘mandi suci’ dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN