Wanita didakwa jual pakej pelancongan palsu

Wanita didakwa jual pakej pelancongan palsu

LOW SIEW HWA didakwa atas dua pertuduhan menipu dengan menjual pakej pelancongan palsu hampir RM16,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual pakej pelancongan palsu kepada dua individu melibatkan kerugian hampir RM16,000.

Bagaimanapun, Low Siew Hwa, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab dan A. Shaarmini.

Bagi pertuduhan pertama, Siew Hwa didakwa menipu seorang wanita berusia 52 tahun untuk membayar sebanyak RM14,396 bagi pakej percutian tidak wujud di sebuah premis di Taman Setia Indah, di sini antara 22 November hingga 9 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdayakan seorang wanita berusia 58 tahun untuk memindahkan wang sebanyak RM1,588 ke dalam sebuah akaun bagi pakej percutian tidak wujud di Taman Bukit Indah pada pukul 6.02 petang, 12 Mac lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah  Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Atifah Hazimah menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dan sebutan semula kes pada 17 Jun, manakala Shaarmini menetapkan jaminan RM5,000 dan sebutan semula kes pada 29 Mei ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN