LUMUT: Wanita warga emas yang parah selepas sebuah kenderaan merempuh restoran makanan segera di Sitiawan, dekat sini, malam tadi, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM).
Tujuh pelanggan lain yang berada dalam restoran tersebut termasuk seorang kanak-kanak turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, wanita berusia 73 tahun itu menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di wad kecemasan HSM.
“Berikutan itu, polis menahan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berusia 29 tahun itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.05 malam di Kilometer 0.5 Jalan Sitiawan – Lumut di simpang empat lampu isyarat Sitiawan.
Katanya, dalam kejadian itu, sebuah SUV jenis Volvo XC90 dari arah Kampung Koh menuju Sungai Wangi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum merempuh restoran tersebut.
Beliau berkata, akibat rempuhan itu, seorang warga emas maut manakala empat lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak berusia lima hingga 38 tahun, serta pemandu SUV itu, cedera ringan.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012 – 6375962 atau 05 – 6899072 untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian semalam, seorang wanita warga emas cedera apabila sebuah SUV merempuh sebuah premis restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, dekat sini.
Akibat rempuhan itu, wanita berusia 70an itu terperosok di bawah SUV tersebut sebelum dikeluarkan oleh orang ramai.
Rempuhan tersebut turut memusnahkan dinding kaca restoran itu yang terletak di kawasan simpang empat bandar Sitiawan. – UTUSAN