Visi ASEAN 2045 asas kerjasama serantau - Utusan Malaysia

Visi ASEAN 2045 asas kerjasama serantau

MOHAMAD Hasan berucap pada pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelancaran Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama yang dijadualkan diterima pakai oleh semua pemimpin ASEAN esok, akan menjadi asas kerjasama rantau ini bagi 20 tahun akan datang.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, visi itu bukan sekadar acara simbolik sebaliknya ia merupakan permulaan usaha kolektif untuk masa depan dan mengesahkan komitmen semua negara ahli terhadap ASEAN yang aman, berdaya tahan, serta berpaksikan rakyat.

Katanya, Visi Komuniti ASEAN 2045 membawa aspirasi berani dengan menjadikan rantau ini sebagai sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini memberi peluang untuk kita menempatkan nilai-nilai ini di pusat hala tuju ASEAN ke arah realisasi Visi 2045.

“Kejayaan visi ini bermula dengan usaha kita hari ini. Asas yang kita bina sekarang akan menentukan sama ada visi itu menjadi kenyataan atau sekadar impian,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, ASEAN mempunyai kekuatan iaitu daripada kepelbagaian dan keyakinan bahawa perbezaan bukanlah pemisah namun ia menjadi batu asas membina jambatan ke arah persefahaman yang lebih baik.

“Dunia sedang memerhati, namun yang lebih penting, rakyat kita sedang bergantung harap kepada kita. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan kejelasan, perpaduan dan matlamat yang teguh. Masa depan ASEAN bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini.

“Malaysia akan melakukan segala usaha untuk memastikan Kepengerusian ASEAN ini memajukan visi bersama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN