Lawatan delegasi ARCEOs' perkukuh ekosistem, teknologi rel serantau

Lawatan delegasi ARCEOs’ perkukuh ekosistem, teknologi rel serantau

ARCEOS' 2025
DELEGASI ARCEOs’ 2025 melihat pembuatan dan penyelenggaraan kereta api pada lawatan teknikal di kilang pembuatan stokereta, SMH Rail, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerjasama erat menerusi Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) 2025 terus membuka ruang baharu bagi memperkukuh ekosistem rel serantau dan mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Bersempena persidangan kali ke-45 itu, seramai lapan ketua delegasi menyertai lawatan teknikal di kilang pembuatan stokereta, SMH Rail di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi ARCEOs’ merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, pemilihan SMH Rail amat signifikan sebagai syarikat tempatan yang berkeupayaan menghasilkan lokomotif dan wagon sendiri.

Menurutya, ia membuktikan industri rel negara bukan hanya bergantung kepada sumber luar, namun mampu berdiri dengan kekuatan, kepakaran dan inovasi.

“Sepanjang lawatan ini, para delegasi berpeluang melihat keupayaan SMH Rail dalam sektor pembuatan stokereta serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Ia meliputi pelbagai inovasi terkini termasuk pembuatan lokomotif dan wagon baharu yang membuktikan kemajuan industri rel Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut menyertai lawatan itu, Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ahmad Nizam Mohamed Amin dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan SMH Rail, Datuk P.K. Nara.

Menurut Afzar, semua ketua delegasi turut menerima taklimat khas daripada pihak pengurusan SMH Rail mengenai operasi, inovasi, dan peranan penting syarikat dalam menyokong pembangunan industri rel termasuk di rantau ASEAN.

“Taklimat itu menonjolkan keupayaan industri rel tempatan selain memberi keyakinan bahawa Malaysia berpotensi besar sebagai peneraju dalam bidang kejuruteraan dan teknologi rel serantau.

“Ini juga jelas mencerminkan semangat tema ARCEOs’ 2025 iaitu ‘Memandu Inovasi, Menghubung Sempadan’,” ujarnya.

Tambah beliau, KTMB, saya merakamkan penghargaan kepada SMH Rail atas sambutan mesra yang diberikan.

“Lawatan ini amat istimewa kerana SMH Rail bukan saja menjadi tuan rumah bagi sesi teknikal, malah tampil sebagai salah satu rakan strategik rasmi ARCEOs’ kali ini. Selain pelbagai peluang baharu, saya yakin kerjasama erat ini akan terus memperkukuhkan lagi ekosistem rel serantau,” katanya.

ARCEOs’ yang berlangsung dari 8 hingga 12 September di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre itu menjadi platform penting memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor rel.

Persidangan lima hari itu menghimpunkan ketua pegawai eksekutif dan peneraju organisasi kereta api dari lapan negara ASEAN iaitu Malaysia, Laos, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Myanmar dan Filipina, selain disertai lebih 100 delegasi serantau dan antarabangsa.

KTMB menegaskan komitmennya memperkukuhkan penyepaduan rel ASEAN menerusi tiga teras utama iaitu pendigitalan, mobiliti hijau dan pembangunan modal insan, sekali gus menyokong aspirasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN