Veteran tentera bertemu semula selepas 30 tahun - Utusan Malaysia

Veteran tentera bertemu semula selepas 30 tahun

VETERAN tentera dan ahli keluarga mereka yang menghadiri majlis reunion Batalion Ke-3 Rejimen Sempatan (3RS) di Pengkalan Hulu semalam. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lebih 400 veteran tentera Batalion Ke-3 Rejimen Sempatan (3RS) di sini dan ahli keluarga mereka teruja apabila dapat bertemu semula setelah berpuluh tahun terpisah dalam Majlis Reunion Veteran BN INF 303 AW/3RS di Dewan Bandaran Majlis Daerah Pengkalan Hulu semalam.

Bekas Pegawai Pemerintah Batalion 303, Mejar Jeneral (B) Datuk Abdullah Babu yang merasmikan program itu berkata, majlis itu adalah jalinan mesra untuk merapatkan hubungan antara veteran tentera yang terputus hubungan sejak berpuluh tahun selepas mereka tamat perkhidmatan.

“Kami sangat gembira kerana sambutan untuk program ini amat menggalakkan, lebih 400 veteran tentera termasuk ahli keluarga hadir bagi memeriahkan majlis ini, paling teruja apabila mereka yang telah berpisah lebih 30 tahun dapat bersua pada hari ini.

“Veteran yang hadir kebanyakkannya dari kawasan utara tanah air namun ada yang sanggup datang dari Johor, Kelantan, Terengganu dan sebagainya semata-mata ingin bertemu rakan-rakan lama untuk bersua muka bertanya khabar,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini pasukan 3RS dikenali Batalion Ke-3 303 Infantri Askar Wataniah dan veteran tentera ini sangat setia dengan 303 serta gembira apabila menyertai pasukan tersebut ketika itu.

Katanya, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan veteran-veteran ini, majlis reunion itu diadakan untuk mengumpul kembali mereka yang telah lama menamatkan perkhidmatan.

“Kalau boleh kami hendak buat setahun sekali reunion ini, kali terakhir tiga tahun lepas kami berjumpa tetapi tidaklah semeriah kali ini dan berharap selepas ini kami boleh menganjurkannya lagi pada setiap tahun.”

“Selain daripada pertemuan yang amat bermakna ini, pengisian program ini turut memberi penghargaan berupa barang makanan dan juga wang sumbangan kepada lapan veteran yang terpilih berdasarkan masalah kesihatan dan kurang bernasib baik,” kata Abdullah.

Katanya lagi, program itu akan diteruskan pada masa akan datang dan jika boleh perbelanjaan untuk program itu tidak melibatkan kutipan daripada veteran sebaliknya ia sepenuhnya akan ditanggung oleh pihak penganjur kecuali jika mereka ingin turut sama menyumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN