PETALING JAYA: Timbalan Ketua Cabang Subang, Dr. Wan Hasifi Amin menawarkan diri bertanding Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan kali ini.
Wan Hasifi dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil keputusan tersebut disebabkan minat politik dalam kalangan anak muda yang semakin merosot ekoran tanggapan bahwa politik tidak lagi relevan dengan kehidupan harian.
Justeru katanya, parti yang berdiri atas semangat reformasi perlu mengubah persepsi berkenaan dengan menyediakan penyelesaian yang dapat memberikan impak positif secara langsung kepada ahli.
“Dengan semangat itu, di samping rasa tanggungjawab membantu membangunkan negara bersama kumpulan pemimpin muda bersama idea segar, saya nekad membawa perubahan dalam landskap politik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas graduan perubatan dari Russia itu juga bercadang membina jaringan mahasiswa sebagai asas kepimpinan masa depan dengan memperluaskan Kelab Mahasiswa Keadilan sehingga ke luar negara.-UTUSAN