PUTRAJAYA: “Terpulanglah, saya ni memang orang tak suka. Terpulanglah. Ini negara merdeka. Ini negara bebas,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata demikian susulan desakan beberapa pihak mahu berhimpun bagi mempertikai pelantikan semulanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sebelum ini, Sekretariat Undur Azam Baki merancang untuk mengadakan bantahan terhadap lanjutan kontrak Azam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 8 malam Sabtu ini.
Kumpulan itu dilaporkan berkata, himpunan tersebut akan menjadi medan bagi rakyat menyuarakan pendirian terhadap pelantikan semula Azam.
Sekretariat Undur Azam Baki itu berfungsi sebagai gelanggang untuk rakyat menyuarakan bantahan tegas mereka terhadap kepimpinan berterusan Azam dalam suruhanjaya antirasuah itu, di samping menuntut reformasi institusi menyeluruh SPRM.
Sebelum ini juga, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar antara individu yang lantang mengkritik pelantikan semula Azam Baki.
Beliau menyifatkan pelantikan Azam yang kini memasuki penggal ketiga sebagai peneraju SPRM sebagai keputusan berkenaan sebagai tidak wajar.
Calon Timbalan Presiden PKR itu juga bersedia menyampaikan bantahan terhadap keputusan penyambungan kontrak Azam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diberi mandat dalam pemilihan parti akan datang. – UTUSAN