BALING: Sepasukan anggota bomba berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) yang hampir menelan seekor kambing jenis Boer di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk pada pukul 10.37 malam dan bergegas ke lokasi bersama lapan anggota.
“Apabila tiba di tempat kejadian didapati ular sawa batik sepanjang enam meter itu masih berada dalam kandang kambing dan di dalamnya terdapat 15 ekor ternakan itu yang dibela penduduk kampung.
“Ular sawa itu telah membelit seekor kambing jenis Boer dan cuba menelannya, meskipun kambing itu bersaiz besar namun ia mampu menelannya tetapi tidak sempat berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, reptilia itu bertindak agresif dan cuba menyerang kerana dipercayai berada dalam keadaan lapar sebelum anggota bomba berjaya menangkapnya dalam tempoh hampir 15 minit.
“Oleh kerana cuaca tidak menentu ketika ini menyebabkan reptilia ini kemungkinan keluar untuk mencari sumber makanan di kandang-kandang haiwan,” ujarnya.
Katanya, operasi terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana penjerut yang digunakan boleh terputus disebabkan saiznya yang besar selain bimbang ular sawa itu terlepas.-UTUSAN