CSP jadi talian hayat pesakit kanser di Pahang

CSP jadi talian hayat pesakit kanser di Pahang

PENGERUSI Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kiri) dan Zaridah Hashim (kanan) ketika melawat gerai pameran sempena Program Kesedaran Kanser Komuniti di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Di sebalik kesunyian dan cabaran hidup pesakit kanser, Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP) tampil sebagai sinar harapan buat lebih 200 penghidapnya dari seluruh negeri ini.

Ditubuhkan atas inisiatif pesakit dan penjaga mereka sendiri, CSP berperanan sebagai platform sokongan yang bukan sahaja menyediakan bantuan moral, malah penghubung kepada pelbagai bentuk sokongan perubatan dan sosial.

Pengerusi CSP, Zaridah Hashim berkata, pertubuhan itu diwujudkan bagi menghimpunkan pesakit barah dalam satu komuniti yang saling memberi kekuatan moral, motivasi dan inspirasi sesama mereka.

Beliau yang juga pesakit kanser payudara tahap dua berkata, pelbagai program dan aktiviti diatur bagi tujuan memberi semangat kepada ahli sekali gus membantu melawan penyakit berkenaan.

“Kita adakan bengkel dan program agar ahli tidak rasa terpinggir. Ramai yang mengaku lebih bersemangat selepas sertai CSP. Bila mereka jumpa rakan senasib, mereka rasa difahami dan dihargai.

“Di samping itu, komuniti ini berperanan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai dengan berkongsi pengalaman menerusi program-program yang dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Sadila Busu, 56, yang juga pesakit kanser serviks sejak 2017 berkata, selepas menjalani pembedahan membuang rahim dan radioterapi, dia sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap barah usus setahun kemudian.

“Disebabkan penyakit yang dihadapi, saya kini tidak dapat mengawal untuk membuang air tetapi saya tetap aktif mengikuti semua program yang dianjurkan CSP.

“Apabila kita berjumpa orang yang senasib atau ujian mereka lebih berat, itu akan membuatkan kita muhasabah diri dan kembali bersemangat untuk melawan penyakit,” katanya.

Bagi Muhammad Zul Fadli Jaafar, 40, pula, dia kini menjaga isterinya, Nor Asma Muhammad Alias, 40, yang menghidap kanser payudara tahap dua.

“Cabaran paling besar adalah kekuatan mental. Tapi pertubuhan ini banyak bantu beri sokongan rohani. Saya tak pernah layan isteri sebagai pesakit, saya anggap dia orang sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN