KAJANG: Universiti Islam Selangor (UIS) bersedia mewujudkan unit integriti dalam memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti sebagai simbol komitmen bersepadu dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Naib Canselor UIS, Datuk Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, penubuhan unit integriti di UIS itu mengambil kira pandangan dan nasihat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam memperkukuh budaya integriti di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, unit integriti itu akan diletakkan di bawah pemantauan ahli lembaga pengarah atau badan pengurusan governance supaya lebih tulus dari sudut pemantauan.
“Seperti pandangan Tan Sri Azam, kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya untuk mewujudkan unit integriti ini,” katanya ketika ditemui selepas Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor, di sini hari ini.
Sementara itu, Azam menzahirkan ucapan tahniah kepada UIS kerana berjaya mengadakan satu polisi integriti.
Kata beliau, sebenarnya tidak ada banyak universiti di negara ini berusaha untuk mengadakan polisi integriti di universiti masing masing.
“Walaupun UIS masih tiada mempunyai unit integriti mereka sendiri tetapi ini satu langkah yang baik daripada mereka.
“Kami daripada SPRM akan sentiasa bekerjasama dan menghulurkan bantuan apa jua yang patut kepada mereka dalam pelaksanaan polisi terkini,” jelas beliau.
Azam berkata, SPRM bersedia memberi khidmat nasihat selain tenaga pakar dan sebagainya.
“Saya menggalakkan UIS boleh menubuhkan unit integriti sendiri dan unit ini penting untuk pelaksanaan polisi terkini seperti mana saya sebutkan dalam ucapan saya tadi wajar pelaksanaan polisi diuruskan oleh satu unit integriti,” katanya.
Terdahulu, UIS telah mengadakan majlis peluncuran Polisi Integriti di Auditorium Dr. Zainudin Jaffar hari ini.
Peluncuran Polisi Integriti itu disempurnakan oleh Azam yang memuji inisiatif UIS membentuk polisi dan kerangka integriti yang kukuh sebagai langkah penting membina sistem pencegahan rasuah serta memperteguh kepercayaan awam.
Peluncuran Polisi Integriti ini disusuli dengan sesi menandatangani dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh seluruh warga UIS sebagai simbol komitmen bersepadu dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam pada itu, Mohd. Farid Ravi dalam capan aluannya menegaskan bahawa pelaksanaan polisi in merupakan langkah strategik ke arah membudayakan etika kerja yang profesional dan berintegriti tinggi.
“UIS komited mewujudkan persekitaran kerja yang bebas daripada sebarang salah laku, dengan menggariskan dasar yang jelas untuk memperkukuh kebertanggungjawaban dan akauntabiliti di semua peringkat.
“Polisi Integriti UIS merangkumi satu kod etika pegawai, empat polisi integriti dan satu prosedur yang menjadi tonggak kepada pelaksanaan sistem integriti menyeluruh,” katanya. – UTUSAN