SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah membuat siasatan berkaitan insiden bunyi kuat dan misteri seakan-akan letupan yang didengari penduduk, sejak bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan dipohon sekiranya perlu demi menamatkan rungutan penduduk yang terkesan dengan perkara itu.
Katanya, setakat ini beliau tidak dapat memastikan punca bunyi itu, lantas meminta penduduk terlibat memberikan masa kepada MBSA untuk membuat siasatan.
Ujarnya, terdapat laporan menyatakan mendengar bunyi letupan dan ada juga yang mengaitkannya dengan UFO (objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti).
“Ada yang kata bunyi letupan, ada yang kaitkan dengan UFO. Kita sendiri tidak tahu dari mana datangnya bunyi itu.
“Kita tidak nafikan memang ada rungutan daripada penduduk yang mendakwa bunyi kuat dan kedengaran dari jarak jauh, sekali gus menimbulkan kebimbangan dan gangguan kepada kehidupan harian mereka.
“Jadi kita akan minta MBSA siasat secara mendalam (kes ini) dan kalau perlu, kita akan minta bantuan daripada polis,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap (Stanco) Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Negeri Selangor Bil. 2/2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Sebelum ini, penduduk dikejutkan dengan bunyi kuat yang berlaku hampir setiap masa, walaupun tidak berterusan.
Beberapa penduduk mendakwa, bunyi berkenaan turut didengari pada awal pagi sehingga mengganggu tidur mereka. – UTUSAN