Guru didakwa cuba bunuh isteri dirujuk ke Hospital Bahagia

Guru didakwa cuba bunuh isteri dirujuk ke Hospital Bahagia

TERTUDUH yang didakwa cuba membunuh isterinya dengan mengelar leher wanita terbabit sebelum mencederakan dirinya sendiri diiringi oleh seorang anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang guru lelaki yang didakwa cuba membunuh isterinya dalam satu kejadian di Sungai Ara minggu lepas dirujuk ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani agar tertuduh menjalani pemeriksaan berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, ketika prosiding, tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, yang diwakili peguam, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan. Selain itu, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki terbabit selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan cubaan bunuh dengan menggunakan sebilah pisau yang mana perbuatan itu boleh menyebabkan kematian kepada seorang wanita berusia 28 tahun dalam bilik di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada 27 Ogos lalu, kira-kira pukul 5.45 pagi.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun.

Disebabkan tertuduh tidak memahami pertuduhan berkenaan, Lushani kemudian memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah untuk menjalani pemeriksaan.

“Terdapat satu memo oleh doktor dari Hospital Pulau Pinang (HPP) yang juga mencadangkan agar tertuduh menjalani penilaian di sana (Hospital Bahagia),” katanya.

Dalam pada itu, barisan peguam tertuduh juga bersetuju dan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan yang dikemukakan oleh Lushani terhadap anak guam mereka.

“Kami telah beberapa kali berbincang dengan anak guam, namun, dia tidak memahami apa yang perkatakan. Jadi, dia perlu dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada dia boleh menjalani proses perbicaraan atau tidak,” katanya.

Mahkamah seterusnya memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan terlebih dahulu dan menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, guru lelaki terbabit dikatakan bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini.

Siasatan awal pihak polis mendapati, punca kejadian disebabkan suspek berdepan masalah hutang pinjaman dengan pihak bank untuk pelaburan saham, selain menanggung bayaran ansuran pembelian barangan melalui platform e-dagang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN