Guru tak mengaku cuba bunuh isteri dengan pisau

Guru tak mengaku cuba bunuh isteri dengan pisau

MUHAMMAD Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi diiringi oleh anggota polis ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, Ogos lalu.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh isterinya dengan menggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, membuat pengakuan tersebut selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Pengakuan tidak bersalah itu juga dibuat selepas mahkamah menerima laporan lengkap termasuk laporan psikiatri dari Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak yang menyatakan bahawa tertuduh layak dan mampu untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 5.45 pagi, pada 27 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Asma Amira pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh selepas mengambil kira keselamatan mangsa dan saksi-saksi kejadian.

Namun, Muhaimin memohon agar jaminan diberi kepada anak guamnya atas alasan tertuduh telah didiagnosis mengalami ‘major depressive disorder’ (MDD) dan perlu mengambil ubat jenis Mirtazapine setiap hari selain berisiko untuk dibuang perkhidmatan sebagai penjawat awam andai tidak diberikan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai.

Pada masa yang sama, tertuduh juga dilarang untuk mendekati mangsa dan perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah jika ada. Kes dijangka disebut semula 6 Januari depan bagi tujuan serahan dokumen.

Dalam kejadian tersebut, mangsa iaitu seorang guru wanita nyaris maut akibat dikelar oleh suaminya yang juga seorang guru. Bagaimanapun, ibu mangsa yang turut berada di rumah itu ketika kejadian sempat menyelamatkan anaknya daripada dibunuh oleh lelaki berkenaan..-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN