TUDM mulakan siasatan keselamatan pesawat Hawk

TUDM mulakan siasatan keselamatan pesawat Hawk

MOHAMED KHALED Nordin ketika menerima cenderamata selepas melancarkan Projek JanaVeteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memulakan siasatan susulan insiden pesawat pejuang jenis Hawk tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah, kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, siasatan itu bagi memastikan keselamatan pesawat pejuang tersebut.

“Insiden pesawat pejuang jenis Hawk yang tergelincir di Alor Setar, Kedah, tidak membabitkan sebarang kecederaan fizikal. 

“TUDM telah dan akan memulakan siasatan untuk pastikan keselamatan kesemua pesawat pejuang Hawk berkenaan. Terpulang pada TUDM berapa lama tempoh siasatan akan mengambil masa,” katanya selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, dekat sini hari ini.

Kelmarin TUDM mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 miliknya tergelincir dari landasan selepas mengalami masalah pada gear pendaratan hadapan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH).

Insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan Opening Gambit sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), namun juruterbang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN