Tuanku Syed Sirajuddin utamakan rakyat tanpa kira kaum dan

Tuanku Syed Sirajuddin utamakan rakyat tanpa kira kaum dan agama

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail amat menitik-beratkan seluruh rakyat serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menjadi tonggak perpaduan dengan sentiasa menaungi seluruh rakyat negeri ini dengan penuh saksama melibatkan segenap warga tanpa mengira kaum mahupun agama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, rakyat cukup bertuah berada di bawah pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin yang begitu menitik-beratkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Katanya, Perlis juga terus berkembang maju khususnya dalam sektor pelancongan hasil daripada pemerintahan baginda yang mencorakkan negeri agar tidak ketinggalan dan menjadi tumpuan pengunjung.

“Baginda merupakan pemerintah yang begitu berjiwa rakyat tanpa mengira kaum dan agama selain memahami keperluan dilaksanakan demi pembangunan negeri ini. Sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-82, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penduduk masyarakat Siam di Kampung Kubang Tiga, Padang Besar, Chongkul Echang, 40, berkata, Tuanku Syed Sirajuddin merupakan pemerintah yang adil, malah baginda tidak pernah mengenepikan kaum minoriti di negeri ini.

Katanya, sepanjang peme­rintahan, baginda begitu adil dan menjaga hubungan de­ngan seluruh rakyat termasuk masyarakat Siam.

“Malah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga sering mengikuti program kayuhan de­ngan masuk ke perkampungan masyarakat Siam bagi menyelami denyut nadi rakyat secara lebih dekat,” katanya.

Dalam pada itu, pengawal ke­selamatan, Mohd Azrul Ezuan Ahmad, 37, berkata, baginda me­rupakan pemerintah yang sentiasa mendengar keluhan dan rintihan rakyat dalam semua perkara.

Ujarnya, Tuanku Syed Fai­zuddin juga amat prihatin sekiranya ada di antara penduduk yang terjejas atau terkesan de­ngan sebarang insiden mahupun bencana.

“Aspek kebajikan rakyat dilihat menjadi keutamaan beliau malah Raja Muda Perlis juga kerap mewakili baginda turun padang meninjau keadaan rak­yat menerusi Program Kayuhan MAIPs Peduli,” katanya.

Sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-82 merupakan detik bersejarah berikutan turut diraikan bersama Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN