PETALING JAYA: Penyanyi, Roziana Cindy kini kembali dengan single terbaharunya yang berjudul Tinggalkan Luka hasil kerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso.
Menurut Roziana, lagu tersebut merupakan sebuah karya menyentuh jiwa yang berkisarkan tentang seseorang yang menghimpun kekuatan untuk bangkit semula dari patah hati.
“Tinggalkan Luka mengingatkan kita untuk melepaskan kesakitan yang pernah melingkari kita, dan tidak membenarkan ia mendefinisikan siapa kita.
“Saya sangat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan Ilham, yang bakat dan empatinya membawa lagu ini menjadi sesuatu yang begitu bermakna,” katanya.
Bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk lagu itu, Roziana turut mengetengahkan susunan muzik dan lirik yang penuh emosi malah mempamerkan sisinya yang lebih tulus, rapuh dan bertafakur.
Sementara itu, Ilham Baso sempat memuji kekuatan vokal penyanyi yang berdarah kacukan Singapura dan Indonesia itu dalam menyampaikan lagu tersebut.
“Roziana mempunyai suara yang membawa keanggunan dan kebenaran. Kolaborasi dalam Tinggalkan Luka membolehkan kami menyampaikan pengalaman universal tentang kehilangan dan penyembuhan. Saya percaya ramai akan merasa terhubung melalui lagu ini,” katanya.
Pelancaran lagu itu secara tidak langsung memperkukuhkan lagi kehadiran Roziana dalam industri muzik serantau.
Malah, karya tersebut turut menonjolkan kematangan artistik dan emosinya dalam menyampaikan lagu-lagu yang bersifat peribadi, intim, dan mudah dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Tinggalkan Luka telah dilancarkan secara rasmi pada 25 April lalu di seluruh platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan Deezer.
Video lirik rasmi turut dilancarkan pada hari sama di saluran YouTube rasmi Roziana Cindy.
Untuk info, sebelum ini Roziana berjaya meraih hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube untuk lagunya yang berjudul Paling Sejati yang dilancarkan pada November tahun lalu.-UTUSAN