ALOR SETAR: Tiga kenderaan yang melarikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika insiden terbabit berlaku pada 9 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pasukan penyiasat memperoleh maklumat itu hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita masih siasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang, dalam siasatan kita kini adalah untuk mengesan kenderaan-kenderaan yang kita telah kenal pasti terlibat.
“Hasil rujukan buat masa ini, rekod JPJ menunjukkan kenderaan-kenderaan itu semua menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, arahan seterusnya ketika ini adalah untuk mengesan model kereta yang menyerupai kenderaan-kenderaan terlibat dalam kehilangan Pamela.
“Jadi kita terpaksa long shot iaitu kenal pasti model kereta dan arahan sudah diberi untuk mencari dalam apa jua kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sempadan Selangor,” katanya.
Terdahulu, pemandu e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian wanita itu dipercayai dilarikan beberapa individu, mendakwa dipaksa menandakan complete job sebelum MyKad dan lesen memandunya diambil.
Menceritakan kejadian terbabit, individu yang ingin dikenali sebagai Kok ,55, berkata, dia mengambil Pamela dari Velocity Tower, Cheras ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan setakat ini tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
Dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, remaja berusia 17 tahun merupakan salah seorang daripada 35 suspek yang dicekup dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian ketika upacara kematian di Pedu, Padang Terap, 30 April lepas.
Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun selain merampas pelbagai peralatan untuk berjudi dan wang tunai berjumlah RM179,981.-UTUSAN