Tiga beranak maut motosikal bertembung kereta - Utusan Malaysia

Tiga beranak maut motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Memilukan apabila sepasang suami isteri dan anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 53 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 1 tengah hari itu mengakibatkan pasangan tempatan berusia 20-an dan kanak-kanak berusia setahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Perodua Ativa.

Katanya, pemandu wanita berusia 30-an itu yang datang dari arah Sepang menghala Banting itu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak lalu jatuh di permukaan jalan.

“Pasangan suami isteri dan anaknya mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya malam ini.

Tambah Akmalrizal, mayat tiga beranak itu dibawa ke Forensik Hospital Banting bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Taneshwaran di talian 012-6708561 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial memaparkan video mangsa termasuk kanak-kanak terbaring selepas terlibat dalam kemalangan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN