Tiga beranak maut kemalangan lahir dan 'pergi' bulan sama

Tiga beranak maut kemalangan lahir dan ‘pergi’ bulan sama

NOOR AZILAWATI Mudasir (tengah) bersama keluarga menunjukkan mesej terakhir dan gambar arwah ketika ditemui di Taman Sijangkang Jaya, Kuala Langat, Selangor hari ini – UTUSAN/iSKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: “Tragedi itu mengejutkan kerana mereka yang dilahirkan pada Mei turut pergi meninggalkan kami bulan yang sama buat selamanya,”.

Itu luahan pilu ibu kepada Allahyarham Norsyahadah Asmadi, 20, yang maut bersama suami dan anak perempuan berusia setahun selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 53 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini, kelmarin.

Lebih memilukan, suri rumah itu dan Allahyarham Muhammad Azarith Farhan Zulkifli, 20, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran anak mereka, Nur Halwatuzahra semalam namun bertukar menjadi kenduri tahil.

Menurut Noor Azilawati Mudasir, 50, pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu sebelum dikurniakan cahaya mata tunggal pada 25 Mei tahun lalu.

“Adik (Norsyahadah) yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu dilahirkan pada 12 Mei 2005 manakala arwah suaminya pada 22 Mei tahun sama.

“Dia (arwah) sempat menyatakan hasrat mahu mengadakan kenduri kesyukuran bagi sambutan kelahiran anaknya semalam namun tidak menjadi kenyataan” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Sijangkang Jaya di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan kemalangan kira-kira pukul 1 tengah hari itu mengakibatkan tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Siasatan awal polis mendapati kereta Perodua Ativa dipandu wanita berusia 30-an memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mangsa.

Noor Azilawati berkata, sejak awal berumah tangga, adiknya sekeluarga tinggal bersama bapanya di Batu 7, Kampung Sijangkang.

Sementara itu, abang arwah, Muhd. Aliff Daniel, 24, berkata, tiga beranak berkenaan dilihat kali terakhir ketika keluar dari rumah mereka, kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Saya turut tinggal di rumah sama dan adik ketika itu kelihatan tergesa-gesa mahu keluar untuk menemui bapa kami.

“Arwah sebelum ini juga pernah berpesan supaya saya boleh mengambil bilik tidur mereka sekiranya dia sudah berpindah atau ‘tiada’ nanti,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kampung Medan di sini, pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN