TEMERLOH: Selama 15 tahun menunggu lambaian kaabah, tiga beradik perempuan bersama pasangan masing-masing akhirnya dipilih menunaikan ibadah haji ke tanah suci, tahun ini.
Mereka mendaftar di Tabung Haji (TH) pada 2009 oleh ibu bapa yang juga pesara guru, Ahmad Zaidee Harun, 60, dan Mazilah Siron, 56, dan menerima tawaran tahun ini di bawah kategori M40, termasuk suami masing-masing menerusi rayuan sebagai mahram.
Tiga beradik berkenaan adalah anak sulung pesara guru tersebut, Nur-Raihan Izzati, 34, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Kampung Sertik, Karak, Bentong bersama suaminya, Muhammad Syafiq Che Lah, 35, juga guru di SMK Ketari, Bentong.
Turut terpilih anak kedua pasangan itu, Nur-Rasyiqah Iylia, 29, juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lakum, Lanchang, Temerloh bersama suaminya, Muhammad Haziq Abd. Majid, 29, yang bertugas sebagai penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.
Mengikuti kakak, anak bongsu pasangan, Nur-Rafhanah Izzah, 26, yang bekerja sebagai pegawai eksekutif di Shah Alam, dan suaminya, Amin Aiman Arham bertugas sebagai penasihat jualan di Kulai, Johor.
Ahmad Zaidee berkata, anak dan menantunya berlepas ke Tanah Suci pada hari Ahad lalu.
“Aturan Allah SWT sangat indah apabila saya dan isteri mendahului anak menyahut lambaian Kaabah pada 2022 setelah rayuan kami diterima.
“Paling nikmat dan amat bersyukur dengan aturan-Nya, kini tibalah giliran saya dan isteri menjaga dua cucu setelah anak-anak dan menantu ke tanah suci,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahmad Zaidee dan isteribya berdoa dengan harapan ketiga-tiga anak perempuan dan menantunya memperoleh haji mabrur serta dipermudah segala urusan sepanjang berada di tanah suci.
Ujarnya, sejak ketiga-tiga anaknya mula bekerja, dia menasihatkan mereka supaya membuat perancangan menyahut lambaian kaabah dengan menyimpan di Tabung Haji secara potongan gaji sehingga menerima tawaran tahun ini. – UTUSAN










