MEKAH: ‘Bergelap’ sejak 38 tahun lalu. Demikian takdir dilalui seorang pesara guru Matematik wanita, Zawiah Mohamad, 62, yang dikesan menghidap glaukoma pada usia 16 tahun sebelum hilang daya penglihatan lapan tahun kemudian.
Namun, perjalanan hidup Zawiah tetap sempurna apabila kini mempunyai empat anak serta enam cucu selepas membina keluarga bersama seorang juruteknik, Mohd. Isa Yakob, 62, pada Disember 1986.
Zawiah disahkan mengandung anak pertama, pada usia kandungan dua bulan dia mengalami kesakitan teramat sangat seperti pening, demam sehingga tidak boleh bangun selain terasa mata seperti dicucuk-cucuk jarum.
Katanya, rasa mencucuk-cucuk itu hilang pada pagi 26 September 1987 namun penglihatannya turut hilang.
“Saya celik (buka mata) rasa boleh celik, sakitnya itu hilang tetapi tengok tangan-tangan tidak nampak. Lihat depan tidak nampak. Jadi hari itu saya percaya bahawa inilah yang doktor kata, glaukoma ini akan berakhir dengan kebutaan,” katanya ketika mengimbas kejadian hampir empat dekad lalu.
Dia berdepan dilema apabila diberi nasihat oleh doktor untuk menggugurkan kandungan dan menjalani pembedahan mata dengan kadar untuk melihat semula adalah antara 60 sehingga 70 peratus kejayaan.
Namun, dia tekad meneruskan kandungan dan bayi lelaki sulungnya lahir pada tanggal 6 Mei 1988, disebabkan keadaan hilang panca inderanya, wanita itu sudah tidak dapat menatap wajah semua zuriatnya termasuk cucu.
“Sebagai manusia biasa sebenarnya kita terima kematian sekali pun, kita tahu mati itu ‘pertunangan’. Saya hanya sempat menatap wajah suami, jika suami kata anak-anak ikut wajahnya pun saya iyakan sahaja,” katanya.
Zawiah dan Mohd. Isa serta anak kedua, Nor Salehah, 36, selain puteri bongsu mereka, Faizah Suaida, 25, antara jutaan tetamu Allah yang dijemput menunaikan haji tahun ini.
Katanya, sebagai seorang Islam yang pernah melihat Kaabah menerusi gambar dan televisyen sebelum ini, dia menetapkan satu matlamat di dalam hati untuk menunaikan haji meskipun tidak melihat Kaabah dengan mata fizikal.
“Mata fizikal memang dah tak berfungsi, tetapi mata hati kita ini, kita tahu kan? Maknanya, satu lagi saya ini selepas tak nampak, saya rasakan Allah bagi mata hati yang lebih bagus daripada kita masa nampak dulu.
“Dahulu, kita rasa kalau kita pandang sesuatu secara fizikal, kadang-kadang kita rebah juga sebab kita terlalu yakin kan kadang-kadang. Tengok kawan kita pun kadang-kadang melangkau pun kadang jatuh,” katanya.
Ujarnya, dia berbicara dengan suami disebabkan kekurangannya itu maka mereka mendaftar anak bongsu sebagai pengiring ketika berusia sembilan tahun.
“Hari ini saya tidak boleh tahan air mata, bukan kata sedih menyesal. Saya tahu Allah hanya boleh pinjamkan (penglihatan) selama 24 tahun,” katanya.
Jauh di sudut hatinya, dia turut menyimpan harapan sekiranya mampu melihat semula.
“Memang sentiasa mengharapkan mampu melihat semula sebab bagi saya Allah tiada batasan. Bila Dia kata ‘jadi, maka jadilah’, sebab itu saya tidak pernah berputus asa lagi,” katanya.-UTUSAN










