PETALING JAYA: Penampilan terbaharu pelakon dan pelawak, Enot mencuri perhatian ramai apabila dirinya kelihatan semakin sihat dengan penurunan berat badan berbanding dahulu.
Menerusi perkongsian video di TikTok, ia menunjukkan pelawak tersebut sedang melakukan ‘trend’ sambil bermain boling dan ramai warganet terkejut dengan perubahan fizikalnya itu.
Kongsi Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, selain pengambilan produk makanan tambahan, dia juga mengamalkan diet dan melakukan aktiviti bagi membantu proses penurunan berat badan.
“Selamat berhujung minggu semua. Selain diet, kena ada aktiviti sikit,” katanya dalam kapsyen hantaran tersebut.
Membalas komen warganet yang bertanya tentang proses penurunan berat badan itu, Enot berkongsi dia mengamalkan produk makanan tambahan dan tidak mengambil karbohidrat serta gula dalam pemakanannya.
“Benar saya makan produk itu sahaja, tapi saya juga potong pengambilan gula dan karbohidrat. Dalam tiga bulan, minum manis sekali dua sahaja kalau ada kerja macam itu.
“Saya memang tidak letak gula, kalau hendak letak, saya akan pakai gula gantian,” katanya membalas soalan netizen.
Jelas Enot, dia tidak membuat pembedahan bariatrik kerana mempunyai sejarah penyakit kanser sebelum ini.
“Saya tidak boleh potong usus kerana saya bekas pesakit kanser. Jadi saya memang kurus berdasarkan produk dan diet,” katanya.
Dalam pada itu, ramai pengguna internet memuji dan terkejut akan perubahan fizikal pelawak itu serta mendoakan kesejahteraannya.
“Macam tidak percaya Enot sudah kurus. Aku ini bila lagi,” kata warganet.
“Cantiknya Kak Enot, sudah kurus, lawa macam anak dara,” kata pengguna lain.
“Wah mantap Kak Enot, cantik, yang versi dahulu cantik juga. Semoga diberi hidayah untuk ke arah yang lebih baik,” komen warganet.
Untuk rekod, Enot yang dahulunya mempunyai berat badan sebanyak 105 kilogram, berjaya diturunkan kepada 70 kilogram, iaitu hilang sebanyak 35 kilogram dalam masa satu tahun.-UTUSAN